TRAGEDI SALMAH (teater)
cinta bukan dosa...
Selasa, 12 Jun 2012
INFO PRODUKSI: TRAGEDI SALMAH
SINOPSIS ‘TRAGEDI SALMAH’
Diinspirasikan dari sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1984, melalui rujukan sebuah buku dengan judul yang sama hasil tulisan Sharifah Abu Salem terbitan Grup Buku Karangkraf (1987), pementasan teater TRAGEDI SALMAH akan dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada Selasa, 12 Jun 2012, 8.30 malam (masuk percuma). Salmah binti Mohammad Salleh, janda muda berusia 26 tahun bukanlah seorang tokoh wanita ternama dunia. Namanya tidak di sebut-sebut sebagai seorang pejuang kemerdekaan, atau tokoh negarawan, atau seorang srikandi. Beliau pernah mendapat liputan yang meluas atas pengakuan beraninya menjadi saksi mahkamah diatas kes pembunuhan kanak-kanak. Namun begitu, keberanian Salmah untuk membuktikan fakta kes berkenaan telah disalahertikan oleh masyarakat dan ia telah menjatuhkan maruahnya sendiri. Meskipun masyarakat menganggap Salmah seorang wanita curang dan memperjudikan pegangan agama berpunca dari suatu kekhilafan yang dilakukannya sendiri, namun keberanian ala srikandi dalam diri Salmah jarang-jarang dapat dilakukan oleh wanita-wanita lain. Persembahan karya Tragedi Salmah ini akan memperjelaskan kronologi naratif jatuh-bangun serta jerit-perih dari kacamata Salmah sendiri di sepanjang rentetan hidupnya dari kecil, remaja dan dewasa. Sejauh manakah kejujuran dan ketulinan kisahnya mampu membersihkan debu-debu persepsi masyarakat terhadap Salmah?
BIODATA PELAJAR YANG DINILAI
Naque Ariffin (20) sebagai Pengarah - berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Antara teater arahan beliau adalah Tan Sri Tua, Konspirasi, Nasionalistik Plastik, Superhero Arjuna, Bunga Kaca, Sesudah Subuh, Tragedi Salmah dan banyak lagi. Selain mengarah teater, beliau banyak melibatkan diri dalam lakonan. Bakat beliau diiktiraf apabila dinobatkan sebagai ‘Best Actor in a Supporting Role - BOH Cameronian Arts Awards 2012’ menerusi lakonanya dalam Teater Short Eyes di bawah naungan Rumah Anak Teater (RAT). Beliau memilih dinilai dalam aspek pengarahan bagi PeTA 2012 ini.
Nadzirah Mustaffah (24) sebagai Sinografer - berasal dari Sandakan, Sabah. Meminati bidang seni sejak kecil lagi melalui pendedahan ayahnya yang mengasaskan kumpulan Teater Angkatan Kesenian Anak Libaran. Aktif dalam deklamasi puisi dan pernah menjadi naib johan Sayembara Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah anjuran KEKKWA Sabah dan Sandakan. Antara penglibatan teater beliau ialah berlakon dalam teater moden Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin Marlia Musa, teater eksperimen Randai Gelanggang Tok Wali arahan Anip Latip, DBP Sabah, Sesudah Subuh arahan Naque Ariffin, Stor DBP. Selain itu, pernah terlibat di bahagian pengurusan produksi antaranya menjadi Pengurus Pentas bagi produksi Raja Pengemis, Penunggu Panggung dan Dosa Si Malakamo. Beliau memilih untuk dinilai dalam aspek sinografi bagi PeTA 2012.
Intan Izzaty Jaafar (22) sebagai Salmah (kecil) dan Peguambela - berasal dari Kuala Lumpur. Pengalaman dalam bidang seni bermula sejak umur 4 tahun dengan menyertai kumpulan Tari Tunas Budaya sehingga umur 18 tahun. Selain itu, mengikuti kelas biola di Istana Budaya seusia 7 hingga 9 tahun. Minat yang mendalam dalam bidang seni sehingga memilih untuk melanjutkan pengajian di Akademi Seni budaya dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater dan memilih untuk dinilai dalam aspek lakonan PeTA 2012.
Hana Mohammed (21) sebagai Salmah (dewasa) - berasal dari Johor Baharu, Johor. Pernah berlakon dalam beberapa buah siri drama sitkom dan telefilem. Penglibatan seni ialah berlakon dalam teater Ayam Jantan Ayam Betina, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa, teater Sesudah Subuh arahan Naque Ariffin. Juga berlakon dalam beberapa buah filem pendek antaranya Pengkid, Piano dan projek filem pendek PeTA 2012. Beliau memilih dinilai dalam bidang lakonan bagi PeTA 2012 ini.
Hazrul Aswad (21) sebagai Zali dan Peguamcara - berasal dari Ipoh, Perak. Beliau meminati bidang seni sejak kecil lagi. Antara lakonannya ialah teater Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin marlia Musa, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa dan Tak Ada Yang Tak kena arahan Naque Ariffin. Selain produksi di ASWARA beliau pernah berlakon dalam teater muzikal Tun Mahathir musim 2 dan krew pentas muzikal LAT Kampung Boy. Selain berlakon beliau berkebolehan dalam nyanyian dan tari. Beliau memilih bidang lakonan untuk penilaian tahun akhir PeTA 2012 ini.
Suhana Othman (22) sebagai Ibu Haryati dan Narrator - berasal dari Kuala Lumpur. Meminati teater sejak kecil lagi. Pernah melibatkan diri dalam beberapa buah produksi antaranya teater Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin Marlia Musa, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa, teater Sesudah Subuh dan Superhero Arjuna arahan Naque Ariffin, teater Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 arahan Yusmar Affendi, makyung Endeng Terjeli, teater klasik Arms In The Men arahan En Ahmad Yatim, West Side Story (PeTA Diploma 2009) arahan Hafizie Hatta dan Dream Girl arahan Diana Maihan. Pernah berlakon dalam beberapa buah filem pendek antaranya Good Bye arahan Timothy. Beliau memilih dinilai dalam bidang lakonan bagi PeTA 2012 ini.
Turut dibantu :
Pelajar Diploma tahun 1 dan 2 Fakulti Teater
Pelajar Fakulti Tari
Pelajar Fakulti Muzik
..dan Ajami Hashim haha!
Ahad, 10 Jun 2012
Tragedi Salmah angkat feminisme @ KOSMO!
BARISAN peneraju teater Tragedi Salmah yang akan dipentaskan pada 12 Jun ini di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara).
PAUTAN ASAL: KOSMOADAPTASI kisah benar ke dalam naskhah popular selalunya mengujakan untuk ditonton, didengari atau dibaca ceritanya. Namun untuk menulis semula kisah benar menjadi skrip teater eksperimen berjudul Tragedi Salmah bukan sesuatu yang mudah.
Sementelah rujukan asasnya hanya berdasarkan sebuah buku semi-biografi dengan judul yang sama. Ia mengisahkan Salmah Mohamed Salleh yang ditulis oleh novelis tersohor, Sharifah Abu Salem, terbitan Kumpulan Karangkraf.
Berbeza dengan adaptasi sesebuah novel fiksyen yang sedia ada di pasaran atau naskhah skrip teater dari perpustakaan yang mempunyai jalan cerita yang tersusun, skrip teater Tragedi Salmah bermula daripada kertas kosong. Setiap kronologi kehidupan Salmah yang penuh berduri dipecahkan kepada beberapa segmen; kecil, remaja, dewasa dan kes perbicaraannya di mahkamah.
"Saya dan rakan dari produksi Tragedi Salmah menghabiskan masa berhari-hari di Perpustakaan Negara untuk mengumpul kesemua keratan akhbar muka depan dan sisipan yang melaporkan kronologi kes itu yang juga dikenali sebagai kes Pembunuhan Lubang Tandas pada April 1984 di Batu Pahat, Johor.
"Kes itu dibicarakan di mahkamah pada tahun 1987," jelas Naque Ariffin yang bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip Tragedi Salmah.
Untuk teater berkenaan, Naque berkolaborasi dengan Siti Fatimah sebagai penulis skrip bersama.
Tragedi Salmah akan dipentaskan hanya satu malam di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) pada Selasa ini pukul 8.30 malam. Ia merupakan sebuah daripada empat buah teater yang dipentaskan sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA 2012) untuk pelajar tahun akhir jurusan Ijazah dan Diploma Teater. Ia juga dikenali sebagai Festival Seni Akademi Seni Aswara bermula 4 Jun sehingga 18 Jun 2012.
Projek teater Tragedi Salmah turut menarik minat penulis blog terkenal serta pengkritik filem terkenal, Ajami Hashim untuk mengambil bahagian sebagai pengurus produksi.
"Teater yang mengambil judul berdasarkan buku Tragedi Salmah, saya sebagai pengurus produksi awal-awal lagi sudah memaklumkan kepada pihak penerbitan Grup Buku Karangkraf untuk mendapatkan kebenaran bertulis bagi menjadikan buku itu sebagai rujukan asas," kata Ajami yang terheret emosi setelah membuat pembacaan terhadap kisah yang menyayat hati yang terjadi kepada Salmah.
Khalayak pastinya tertarik untuk menyaksikan teater eksperimental berkenaan yang sarat elemen unik sepanjang persembahan. Ia menampilkan rekaan kostum era tahun 1980-an, korus, penataan cahaya dan set yang nampak mudah tetapi penuh semiotik.
Selain Naque yang bertindak sebagai pengarah, Tragedi Salmah turut dibarisi Nadzirah Mustaffah di bahagian sinografer), Intan Izzaty Jaafar (Salmah sewaktu kecil), Hana Mohamed (Salmah sewaktu dewasa), Hazrul Aswad (Zali dan peguam bela) dan Suhana Othman (narator dan Ibu Haryati). Selain daripada enam pelajar yang dinilai, teater berkenaan turut dihidupkan oleh pelajar Diploma Teater Tahun 1 dan 2 daripada Fakulti Teater, Fakulti Tari dan Fakulti Muzik.
"Saya memilih pendekatan eksperimental untuk Tragedi Salmah manakala teksnya pula berbentuk realisme sebagai platform penceritaan. Ia penting, kerana sebagai pelajar saya perlu mengaplikasikan semua ilmu pembelajaran selama di Fakulti Teater selama tiga tahun. Tragedi Salmah sarat unsur feminisme dan melodrama. Anda boleh datang untuk menyaksikan hasil karya kami serta menilainya sendiri," tambah Naque, pengarah muda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu penuh makna.
Selasa, 5 Jun 2012
Promosi TRAGEDI SALMAH @ GALATV ASTRO AWANI
Langgan:
Catatan (Atom)