Selasa, 12 Jun 2012

INFO PRODUKSI: TRAGEDI SALMAH


SINOPSIS ‘TRAGEDI SALMAH’

Diinspirasikan dari sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1984, melalui rujukan sebuah buku dengan judul yang sama hasil tulisan Sharifah Abu Salem terbitan Grup Buku Karangkraf (1987), pementasan teater TRAGEDI SALMAH akan dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada Selasa, 12 Jun 2012, 8.30 malam (masuk percuma). Salmah binti Mohammad Salleh, janda muda berusia 26 tahun bukanlah seorang tokoh wanita ternama dunia. Namanya tidak di sebut-sebut sebagai seorang pejuang kemerdekaan, atau tokoh negarawan, atau seorang srikandi. Beliau pernah mendapat liputan yang meluas atas pengakuan beraninya menjadi saksi mahkamah diatas kes pembunuhan kanak-kanak. Namun begitu, keberanian Salmah untuk membuktikan fakta kes berkenaan telah disalahertikan oleh masyarakat dan ia telah menjatuhkan maruahnya sendiri. Meskipun masyarakat menganggap Salmah seorang wanita curang dan memperjudikan pegangan agama berpunca dari suatu kekhilafan yang dilakukannya sendiri, namun keberanian ala srikandi dalam diri Salmah jarang-jarang dapat dilakukan oleh wanita-wanita lain. Persembahan karya Tragedi Salmah ini akan memperjelaskan kronologi naratif jatuh-bangun serta jerit-perih dari kacamata Salmah sendiri di sepanjang rentetan hidupnya dari kecil, remaja dan dewasa. Sejauh manakah kejujuran dan ketulinan kisahnya mampu membersihkan debu-debu persepsi masyarakat terhadap Salmah?

BIODATA PELAJAR YANG DINILAI

Naque Ariffin (20) sebagai Pengarah - berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Antara teater arahan beliau adalah Tan Sri Tua, Konspirasi, Nasionalistik Plastik, Superhero Arjuna, Bunga Kaca, Sesudah Subuh, Tragedi Salmah dan banyak lagi. Selain mengarah teater, beliau banyak melibatkan diri dalam lakonan. Bakat beliau diiktiraf apabila dinobatkan sebagai ‘Best Actor in a Supporting Role - BOH Cameronian Arts Awards 2012’ menerusi lakonanya dalam Teater Short Eyes di bawah naungan Rumah Anak Teater (RAT). Beliau memilih dinilai dalam aspek pengarahan bagi PeTA 2012 ini.

Nadzirah Mustaffah (24) sebagai Sinografer - berasal dari Sandakan, Sabah. Meminati bidang seni sejak kecil lagi melalui pendedahan ayahnya yang mengasaskan kumpulan Teater Angkatan Kesenian Anak Libaran. Aktif dalam deklamasi puisi dan pernah menjadi naib johan Sayembara Puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah anjuran KEKKWA Sabah dan Sandakan. Antara penglibatan teater beliau ialah berlakon dalam teater moden Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin Marlia Musa, teater eksperimen Randai Gelanggang Tok Wali arahan Anip Latip, DBP Sabah, Sesudah Subuh arahan Naque Ariffin, Stor DBP. Selain itu, pernah terlibat di bahagian pengurusan produksi antaranya menjadi Pengurus Pentas bagi produksi Raja Pengemis, Penunggu Panggung dan Dosa Si Malakamo. Beliau memilih untuk dinilai dalam aspek sinografi bagi PeTA 2012.

Intan Izzaty Jaafar (22) sebagai Salmah (kecil) dan Peguambela - berasal dari  Kuala Lumpur. Pengalaman dalam bidang seni bermula sejak umur 4 tahun dengan menyertai kumpulan Tari Tunas Budaya sehingga umur 18 tahun. Selain itu, mengikuti kelas biola di Istana Budaya seusia 7 hingga 9 tahun. Minat yang mendalam dalam bidang seni sehingga memilih untuk melanjutkan pengajian di Akademi Seni budaya dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater dan memilih untuk dinilai dalam aspek lakonan PeTA 2012.

Hana Mohammed (21) sebagai Salmah (dewasa) - berasal dari Johor Baharu, Johor. Pernah berlakon dalam beberapa buah siri drama sitkom dan telefilem. Penglibatan seni ialah berlakon dalam teater Ayam Jantan Ayam Betina, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa, teater Sesudah Subuh arahan Naque Ariffin. Juga berlakon dalam beberapa buah filem pendek antaranya Pengkid, Piano dan projek filem pendek PeTA 2012. Beliau memilih dinilai dalam bidang lakonan bagi PeTA 2012 ini.

Hazrul Aswad (21) sebagai Zali dan Peguamcara - berasal dari Ipoh, Perak. Beliau meminati bidang seni sejak kecil lagi. Antara lakonannya ialah teater Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin marlia Musa, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa dan Tak Ada Yang Tak kena arahan Naque Ariffin. Selain produksi di ASWARA beliau pernah berlakon dalam teater muzikal Tun Mahathir musim 2 dan krew pentas muzikal LAT Kampung Boy. Selain berlakon beliau berkebolehan dalam nyanyian dan tari. Beliau memilih bidang lakonan untuk penilaian tahun akhir PeTA 2012 ini.

Suhana Othman (22) sebagai Ibu Haryati dan Narrator - berasal dari Kuala Lumpur. Meminati teater sejak kecil lagi. Pernah melibatkan diri dalam beberapa buah produksi antaranya teater Ayam Jantan Ayam Betina arahan Datin Marlia Musa, teater kanak-kanak Manis Bertudung Merah arahan Datin Marlia Musa, teater Sesudah Subuh dan Superhero Arjuna arahan Naque Ariffin, teater Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 arahan Yusmar Affendi, makyung Endeng Terjeli, teater klasik Arms In The Men arahan En Ahmad Yatim, West Side Story (PeTA Diploma 2009) arahan Hafizie Hatta dan Dream Girl arahan Diana Maihan. Pernah berlakon dalam beberapa buah filem pendek antaranya Good Bye arahan Timothy. Beliau memilih dinilai dalam bidang lakonan bagi PeTA 2012 ini.

Turut dibantu :
Pelajar Diploma tahun 1 dan 2 Fakulti Teater
Pelajar Fakulti Tari
Pelajar Fakulti Muzik
..dan Ajami Hashim haha!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan